BERITA – Memecah Monopoli Kini TNB Mula Memasuki Pasaran Jalur Lebar Dengan Ujian Rintis | Tenaga Nasional, penyedia perkhidmatan elektrik terkemuka di Malaysia kini akhirnya memulakan projek rintis untuk penawaran jalur-lebar berkelajuan tinggi.
Untuk makluman, TNB melalui rangkaian elektrik mereka mempunyai kabel optik fiber – meliputi 12,000 kilometer di seluruh Malaysia. Walaubagaimanapun, penggunaan jalur-lebar berkenaan adalah sangat minimum, membuatkan mereka turut boleh menggunakan infrastruktur berkenaan untuk penawaran internet.
Syarikat elektrik negara ini menggunakan rangkaian jalur-lebar pada kabel elektrik untuk memantau prestasi perkhidmatan elektrik. Di seluruh dunia, terdapat pelbagai syarikat yang menawarkan perkhidmatan jalur-lebar melalui rangkaian kuasa. Jadi, TNB memperluaskan perkhidmatan mereka dari elektrik ke jalur-lebar merupakan sesuatu yang telah menjadi jangkakan ramai pihak.
Buat masa ini, TNB memulakan projek rintis di Jasin bermula bulan ini, dan menjelang penghujung 2018 kelak ia dijangka meliputi sejumlah 1100 rumah di Taman Merbau, Taman Maju dan juga Felda Kemendor. Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie berkata projek ini akan menambah kepantasan sambungan rangkaian dengan harga lebih murah di samping akses yang lebih meluas.
Kata beliau, projek ini akan selesai pada akhir tahun 2018 yang melibatkan 1,100 daripada 4,300 rumah di Taman Merbau, Taman Maju dan Felda Kemendor. Dengan langkah ini, perumahan ini akan menerima akses kepada jalur-lebar berkelajuan tinggi, sekaligus pengguna dapat melayari internet pada kelajuan tinggi.
Kemasukan TNB secara menyeluruh dijangka akan menamatkan monopoli yang dipegang oleh TM selama ini dengan membawa persaingan sengit dalam penyediaan akses kepada internet. Menurut pemerhati industri, kejayaan TNB akan menyebabkan lebih banyak pemain pasaran memasuki pasaran penyedia perkhidmatan broadband dan akan meningkatkan persaingan seterusnya menurunkan harga pakej internet yang ada pada hari ini.
TNB juga ingin menguji konsep akses terbuka melalui projek rintis ini – dimana penyedia sedia ada boleh menggunakan platform TNB untuk penawaran internet kepada pengguna umum. Buat masa ini, TNB dilihat ingin menjadi penyedia infrastruktur, dan syarikat telekomunikasi boleh menggunakan infrastruktur mereka untuk penawaran internet kepada pengguna.
Apa pun, pada masa yang sama, TNB juga turut mempunyai syarikat jalur-lebar mereka tersendiri di Cyberjaya yang dinamakan Cyberjaya Broadband dan menawarkan internet pada kelajuan mencapai 1Gbps dengan harga berpatutan.
TNB Mula Memasuki Pasaran Jalur Lebar Dengan Ujian Rintis
Discussion about this post